
Dalam sejarah sistem pendidikan negara, wacana tentang pendidikan wajib sering kali berakhir sebagai retorik dasar yang tidak bergigi. Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) memperuntukkan pendidikan rendah sebagai pendidikan wajib, namun usaha untuk memperluaskan kewajiban ini sehingga ke peringkat menengah bagi melengkapkan sekurang-kurangnya 12 tahun pendidikan asas masih belum menjadi realiti undang-undang. Ini bukan kerana kekurangan data, justifikasi atau keperluan, tetapi kerana ketiadaan political will yang benar-benar berani.
Selama lebih dua dekad, tidak ada seorang pun Menteri Pendidikan yang tampil dengan tekad membawa Rang Undang-Undang Pendidikan Menengah Wajib ke Parlimen. Isu ini tetap kekal sebagai wacana akademik, sedangkan sistem pendidikan terus menyaksikan ratusan ribu pelajar meninggalkan sekolah sebelum tamat menengah atas. Dalam landskap ini, YB Fadhlina Sidek mencipta sejarah sebagai Menteri Pendidikan pertama yang secara terbuka, konsisten dan berprinsip menyatakan komitmen untuk menjadikan pendidikan menengah sebagai pendidikan wajib, dan bersedia memperjuangkannya di Dewan Rakyat.
Ini bukan semata-mata soal teknikal penguatkuasaan. Soalnya lebih dalam dan lebih luhur iaitu soal menjunjung hak rakyat kepada pendidikan berkualiti, berterusan dan menyeluruh. Pendidikan wajib selama 12 tahun bermula dari prasekolah hingga ke Tingkatan Lima bukan suatu eksperimentasi idealis. Ia adalah tuntutan zaman, sesuai dengan aspirasi negara membina generasi celik ilmu, celik teknologi dan celik akhlak.
Negara-negara yang telah melaksanakan pendidikan wajib 12 tahun, seperti Korea Selatan, Finland, dan Jepun, telah pun lama menunjukkan bahawa pelaburan dalam pendidikan menengah adalah pelaburan dalam daya saing nasional. Pendidikan menengah adalah tempoh kritikal dalam perkembangan intelek dan sahsiah remaja. Jika mereka tercicir pada tahap ini, negara bukan sahaja kehilangan modal insan, tetapi turut mencipta jurang sosial yang sukar dirapatkan.
Komitmen YB Fadhlina Sidek dalam hal ini menuntut satu bentuk keberanian politik (political courage) yang jarang kita saksikan dalam kalangan pemimpin pendidikan. Usaha beliau untuk memperjuangkan pendidikan wajib 12 tahun bakal mencabar status quo – dari aspek peruntukan kewangan, keperluan infrastruktur, hinggalah kepada penyusunan semula sistem pengesanan murid tercicir. Namun, perubahan sistemik tidak akan berlaku tanpa keberanian dasar.
Kita juga perlu mengubah persepsi awam yang menganggap pendidikan wajib sebagai ancaman terhadap ibu bapa atau suatu bentuk paksaan undang-undang. Sebaliknya, ia adalah jaminan hak asasi bahawa setiap anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang, berhak untuk tidak tercicir. Ia bukanlah bersifat menghukum, tetapi bersifat memelihara. Sebagaimana negara wajib memastikan setiap kanak-kanak mendapat vaksinasi asas untuk kelangsungan hidup fizikal, maka pendidikan wajib ialah “vaksinasi intelektual” untuk kelangsungan hidup masa depan mereka.
Dalam konteks ini, pelaksanaan pendidikan menengah wajib harus disertai dengan sistem sokongan menyeluruh termasuk bantuan kewangan bersasar, pengangkutan percuma, bimbingan psikososial, dan kurikulum fleksibel yang tidak mendiskriminasikan murid daripada pelbagai keupayaan. Pendidikan wajib bukan hanya tanggungjawab undang-undang, tetapi manifestasi cinta negara terhadap anak-anaknya.
Tahun 2026 bakal menjadi titik mula yang penting apabila dasar ini dirangka untuk dibawa ke Parlimen. Ia bukan sekadar reformasi teknikal. Ia adalah deklarasi moral bahawa Malaysia akhirnya bersedia mengangkat pendidikan sebagai hak, bukan sekadar peluang.
Maka, persoalan yang wajar ditanya sekarang bukanlah “bolehkah ia dilaksanakan?”, tetapi “adakah kita berani menyempurnakannya?”. Dan sejarah akan mengingati bahawa ketika ramai memilih diam dan selesa, ada seorang Menteri Pendidikan wanita yang berdiri teguh membawa harapan ke dewan undang-undang demi setiap anak Malaysia.