Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar (2017) dalam bukunya Environmental Wisdom for Planet Earth memulakan bicara dengan satu pernyataan berkenaan bagaimana manusia belajar tentang alam dan persekitaran:
"Modern man learns the wisdom of ecological equilibrium and environmental health the bitter way. It is also the expensive way. Not until he has seen with his own eyes the bitter fruits of his scientific and technological culture and his extravagant life style does he come to realize how important ecological equilibrium and environmental health are to the survival of humankind on earth"1
Pernyataan beliau itu memperlihatkan bahawa manusia yang hidup di atas muka bumi ini seringkali menanti akibat buruk yang berlaku untuk bertindak dan mengambil peduli terhadap diri mereka dan persekitaran. Ini selari dengan pesan Allah kepada manusia:
“Telah jelas kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah ar-Rum: 41)
Keupayaan berfikir dan kebijaksanaan manusia terhadap alam persekitaran nampaknya tidak selari dengan kecanggihan teknologi serta kehebatan saintifik yang dicapai. Ironinya, semakin lama semakin tinggi pencapaian sains dan teknologi, semakin banyak kerosakan yang berlaku di atas muka bumi dan memerlukan lebih banyak usaha pemeliharaan dan pemuliharaan.
Dalam dialog Allah dengan para malaikat berkenaan penciptaan manusia sebagai khalifah (wakil) di muka bumi, Allah mengungkapkan kerisauan para malaikat terhadap tindakan makhluk manusia yang akan berlaku:
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata, “Mengapa Engkau hendak menjadikan di muka bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.” Surah al-Baqarah: 30
Pertanyaan para malaikat itu menampakkan bahawa ada kemungkinan manusia akan ke arah melakukan kerosakan di muka bumi (al-fasadu fi ‘l-ard). Kita harus bertanyakan pada diri, adakah sememangnya manusia itu sentiasa bersikap menanti punca dan akibat (cause and effect) dari perbuatan sendiri untuk memahami tindak balas alam dan belajar tentangnya? Atau kita punya cara untuk membina kebijaksanaan dan kefahaman persekitaran terhadap satu-satunya tempat tinggal manusia sebelum merasai kesan perbuatan sendiri?
Tuntutan Keimanan
Allah mencipta akal fikiran dan menyempurnakannya dengan petunjuk wahyu. Allah memerintahkan orang-orang yang berakal supaya mengamati segala makhlukNya, merenung dan mengambil pelajaran daripada segala keajaiban yang terkandung dalam ciptaanNya. Dengan mengamati makhlukNya, berfikir mengenai kejadian, memahami hikmah keindahan alam dan mengurus sumber-sumber alam, manusia dapat mengenal Allah. Apabila iman meningkat, lahirlah ketaqwaan kepada Allah. Oleh itu, penciptaan alam oleh Tuhan sebagai tanda dan bukti (ayat) akan sentiasa akhirnya menuntut manusia untuk membina kesedaran ketuhanan (God Conscious) agar kembali kepada Allah, Al-Khaliq.
Manusia diseru supaya tanda dan bukti alam diperhatikan, difikirkan (tafakkur), direnungkan dan dimanfaatkan yang akhirnya akan mengenal Allah dan membina keimanan kepada Allah. MengEsakan Allah tanpa apa-apa sekutu atas keagungan dan kebesarannya terhadap penciptaan dan penguasaan alam.
“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum, lalu kami pisahkan antara keduanya? Dan kami jadikan dari air tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”. (Surah al-anbiya’: 30)
Dalam menghurai ayat 30-32 surah al-Anbiya’ ini, Prof. HAMKA menyebutkan, apabila bercerita tentang penciptaan dan alam, akhirnya Allah mahukan keimanan atas kefahaman manusia tentang alam.2 Kerana itu Allah menyoal kembali manusia dengan soalan seperti tidakkah kita berfikir? Melihat? Perhatikan? Dan bagi mereka yang telah melalui proses itu, Allah tanyakan, tidakkah mahu beriman?
Justeru, dalam proses pendidikan berkaitan alam, manusia mesti diajak untuk memerhati dan merenung penciptaan alam sehingga timbul rasa kesedaran ketuhanan (God Conscious). Ini lantas akan menjadikan mereka rabbaniyyun, golongan rabbani yang mengenal Tuhan dengan sifat-sifat kehebatanNya.
Pendekatan Rabbani-Alami
Rabbani berasal dari perkataan Rabb. Rabbani beerti punya sifat ketuhanan. Manusia yang dicipta untuk berfungsi sebagai wakil Tuhan dituntut memperlengkapkan diri dengan sifat-sifat unggul al-takhalluq bi akhlaqi ‘Llah (berakhlak dengan akhlak Allah). Manusia yang berjaya menghayati sifat-sifat dan nama-nama Tuhan (al-Asma’al-Husna) dalam batas-batas kemanusiaannya itulah yang disebut manusia rabbani, manusia yang dekat dengan Tuhan dari segi sifat-sifatnya.3
‘Alami berasal dari perkataan ‘alam. ‘Alami bererti bersifat alam, bersangkutan dengan alam atau boleh juga dikaitkan dengan persekitaran. Persekitaran dalam konsep sains ditakrifkan keseluruhan keadaan, tempat atau kawasan yang didiami oleh organisma, sama ada dari segi fizikal atau biologi yang mempengaruhi pertumbuhan, perkembangan dan perlakuan organisma berkenaan.
Pendekatan Rabbani-‘Alami membawa maksud dalam memahami penciptaan dan merenung kejadian alam serta persekitaran, manusia dibangunkan kesedaran tentang kekuasaan dan kehebatan Sang Pencipta agar terbina keimanan. Atau manusia beriman perlu memahami tanggungjawab kekhalifahannya (wakil) dan dibangunkan kecerdasan tentang alam serta persekitaran, ekosistem dan kejadiannya supaya berupaya mentadbir bumi sesuai dengan kehendak Tuhan.
Pendekatan Rabbani-Alami ini adalah metod pendidikan para nabi kepada umat mereka seperti peristiwa dialog Nabi Ibrahim dengan kaumnya (Surah al-An’am: 75-79) yang memperlihatkan proses perenungan alam bertujuan menimbulkan ketauhidan kepada Allah agar mereka bisa menjadi rabbaniyyun. Manakala Nabi Sulaiman yang diberi kelebihan hikmah, ilmu dan kekuasaaan terhadap alam, sentiasa mengungkapkan pujian syukur kepada Allah.
“Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan baginda berkata, “Wahai manusia! Kami telah diajarkan bahasa burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya, (semua) ini benar-benar kurniaan yang nyata”. (Surah an-Naml: 16)
Baginda adalah manusia yang beriman yang dikurniakan kebijaksanaan ‘alami. Kebijaksanaan Nabi Sulaiman ini penting agar segala pengurusan dan pentadbiran terhadap pelbagai makhluk dan alam tidak melampaui batas dan sentiasa berada dalam kesolehan. Kerana itu baginda berdoa:
“... Ya Tuhanku, anugerahkanlah aku ilham untuk terus mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku, dan agar aku membuat kebaikan yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh”. (Surah an-Naml: 19)
Ciri kesolehan ini adalah lawan kepada sikap dan perbuatan melampaui batas serta melakukan kerosakan (al-fasad) di atas muka bumi. Manusia Rabbani yang memiliki kesedaran ‘Alami akan sentiasa meletakkan nilai kesolehan dan keihsanan apabila berinteraksi dengan alam sekitar. Mereka memiliki karakter seperti yang disebut dalam al-Quran:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi Ulil Albab. (Yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka". (Ali Imran: 190-191)
Ulul Albab adalah mereka yang sentiasa cermat dan tidak melampaui batas dengan mengelakkan diri dari melakukan kerosakan (al-fasad). Kesolehan yang terbina membolehkan mereka mengurus dan mentadbir bumi penuh ketelitian dan keseimbangan. Seperti mana pesan Tuhan: Surah Asy-Syu’ara: 150-152
“Maka bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. Dan janganlah kamu mentaati perintah orang-orang yang melampaui batas. Yang membuat kerosakan di bumi dan tidak melakukan kebaikan”.
Kebijaksanaan Persekitaran (Environmental Wisdom)
Homosapiens adalah nama saintifik bagi manusia yang bermaksud “Wise Man” dalam Bahasa latin. Tidak dapat tidak, manusia yang telah melabelkan spesisnya sebagai “Wise Man” (Manusia/Orang Bijak), seharusnya berupaya menampakkan kebijaksanaannya melebihi makhluk atau spesis hidupan yang lain. Kebijaksanaan ini disebutkan Albert Einstein, diperolehi melalui proses perenungan yang mendalam sebagai proses membina kefahaman ‘alami, “Look deep into nature and then you will understand everything better”.
Juga diungkapkan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, “The deeper the understanding one has of nature’s ecological reality, and its metaphysical meaning and significance, the greater and more profound his respect for nature would be”.4
Menyorot kembali bagaimana generasi awal nenek-moyang kita berinteraksi dengan alam sebelum datangnya zaman revolusi industri dan pengkomersialan, memperlihatkan kefahaman dan penghormatan yang tinggi terhadap alam dan persekitaran. Mereka memanfaatkan akal dan membina kekuatan daya untuk menggarap pelajaran-pelajaran yang boleh diperolehi dari alam.
Generasi awal menterjemahkan pelajaran-pelajaran alam dengan menggambarkan serta mengunakan alam itu sendiri dalam penyampaian nilai-nilai kehidupan. Mereka membina satu bentuk pendidikan nilai dengan memanfaatkan kefahaman tentang alam dan tabiatnya untuk diwarisi oleh generasi pelapis. Maka terhasillah simpulan-simpulan bahasa, peribahasa mahupun puisi-puisi yang menggunakan alam sebagai subjek perumpamaan. Bagai Aur dengan tebing, melentur buluh biar dari rebungnya, harapkan pegar, pegar makan padi dan banyak lagi. Ini selari dengan metod al-Quran dan as-sunnah yang sering kali menggunakan alam untuk menyampaikan nilai-nilai Islami.
Kebijaksanaan persekitaran mereka juga berlaku dalam pelaksanaan amalan harian dan kebudayaan yang melahirkan sifat kecermatan dan kecerdasan terhadap pengurusan alam. Antaranya pemanfaatan sumber air hujan, mata air atau telaga, tumbuhan dan herba sebagai ubat-ubatan, dusun dan kebun-kebun sayur sebagai sumber makanan serta pelbagai lagi. Segala nilai dan amalan ini menjadi akhlak generasi awal dalam interaksi mereka terhadap alam sekitar.
Akhlak Persekitaran
Kata akhlak berasal dari kata bahasa Arab, ‘khuluq’ yang membawa erti kehidupan , tabiat, karakter dan hakikat insan yang berupa gambaran sifat batin insan yang juga terzahir melalui pekerti lahiriah.5 Oleh itu, kebijaksanaan Persekitaran (Environmental Wisdom) yang terbina sebagai sifat batin manusia akan pula melahirkan sifat lahiriahnya yang boleh disebut sebagai Akhlak Persekitaran. Akhlak persekitaran adalah natijah dari jiwa rabbani yang terbina kecerdasan ‘alami atau jiwa ‘alami yang terbina kesedaran rabbani.
Landasan pemikiran akhlak persekitaran seperti mana yang digariskan oleh Majlis Lingkungan Hidup Muhammadiyah, meletakkan enam asas legal (perundangan) perlindungan dan pengelolaan lingkungan (persekitaran) iaitu:
- Allah s.w.t adalah pemilik tunggal alam semesta termasuk bumi dan seisinya. Manusia hanya mempunyai hak untuk memanfaatkan alam dengan segala sumber dayanya semata-mata untuk memenuhi keperluan hidupnya dan keberlangsungan kehidupannya. Pemilikan atau penguasaan perorangan atas lahan (tanah) atau sumber daya alam yang menjadi milik umum/bersama, tidak diperbolehkan/dilarang.
- Penyalahgunaan hak pemanfaatan sumber daya alam, baik oleh perorangan mahupun kelompok dilarang dan akan mendapat sanksi (tindakan) / hukuman
- Terdapat hak pemanfaatan sumber daya alam yang menjadi milik umum dan diatur oleh masyarakat atau negara
- Kesejahteraan atau kemaslahatan umum didahulukan dan dilindungi
- Kemanfaatan atas sumber daya alam dilindungi oleh negara dan kerosakan yang boleh menyebabkan menurunnya nilai manfaat sumber daya alam yang bersangkutan dihindari atau diminimumkan.6
Landasan pemikiran tersebut secara umumnya memerlukan kepada penekanan kefahaman asas aqidah, pegangan ilmu tentang alam dan kemahiran tatakelola yang baik.
Pendidikan Alam Sekitar Masa Hadapan
Memahami dan berfikir tentang alam adalah pesan-pesan akhlak dalam al-Quran dan as-Sunnah. Manusia adalah sebahagian dari alam dan diamanahkan sebagai khalifah (wakil) yang bertanggungjawab mentadbir dan memakmurkan bumi menurut kehendak Tuhan. Bagi membolehkan kemakmuran dan kesejahteraan berlaku di atas muka bumi, proses pendidikan terhadap satu-satunya tempat kehidupan manusia ini perlu dipastikan sentiasa berlaku dan dimulakan sejak manusia itu masih kecil.
Berhadapan dengan kerancakan perkembangan sains dan teknologi yang membawa manusia lebih dalam ke dunia imaginasi dan maya, dunia digital dan artificial menyebabkan dunia nyata alam semakin dilalaikan. Sedangkan hakikatnya manusia itu pada asalnya lahir dan sehingga matinya pasti berada dalam alam nyata. Pembawakan dunia masa hadapan akan secara fiziknya, manusia itu berada di alam nyata namun akal dan mindanya terperangkap dalam kemayaan dan ketidakaslian (artificial).
Maka, pendidikan alam sekitar pada zaman mendatang pastinya menghadapi cabaran besar untuk melahirkan manusia-manusia rabbani-‘alami yang punya kebijaksanaan persekitaran (environmental wisdom) dan akhlak persekitaran. Di Malaysia, selama ini, usaha-usaha pendidikan ‘alami hanya berlangsung secara natural melalui ilmu-ilmu nenek moyang kepada cucu cicit dan subjek-subjek tidak langsung seperti Geografi dan Kemahiran Hidup. Pendidikan alam sekitar selama lebih 50 tahun kemerdekaan Malaysia belum benar-benar diangkat dan diketengahkan nilai-nilainya.
Kini, Februari 2017, melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bercadang untuk memperkenalkan subjek Pengajian Alam Sekitar di sekolah. Usaha ini bertujuan agar generasi muda lebih peka mengenai alam sekitar dan pencemaran. Ini adalah satu usaha yang baik meskipun baru di peringkat cadangan tetapi mesti dipastikan berjaya dilaksanakan dengan bersunguh-sungguh. Pelaksanaan pendidikan alam sekitar ini juga perlu diperluaskan meliputi pelbagai peringkat dan sektor. Oleh yang demikian, bagi menjayakan agenda tersebut, beberapa kerangka asas yang perlu dititikberatkan dalam pendidikan alam sekitar iaitu:
- Pendidikan alam sekitar masa hadapan dari segi konseptualnya perlu menekankan tentang kefahaman rabbani-‘alami agar tercapai tujuan tafakkur dan tadabbur terhadap alam. Manakala dari segi pendekatan penyampaiannya perlu membawa manusia mengalami dan merasai alam dan persekitaran secara nyata (real).
- Metod pendidikan melalui pendekatan Rabbani-‘Alami yang membawa manusia ke arah kesedaran penciptaan alam harus menimbulkan kebijaksanaan persekitaran (Environmental Wisdom). Kebijaksanaan persekitaran inilah yang akan melahirkan manusia-manusia yang berhemah dan berhikmah dalam hubungannya dengan alam.
- Pembinaan dan penerapan akhlak persekitaran perlu berlaku sepanjang masa dan meliputi pelbagai aspek dan subjek kehidupan tidak hanya dalam matapelajaran alam sekitar. Pendekatan holistik dengan mengaitkan ilmu-ilmu agama dan sains dengan alam dan persekitaran.
- Melatih kemahiran tata kelola yang baik terhadap sumber-sumber alam dan yang berkaitan dengannya dengan memastikan tujuan dan hasil bertepatan dengan nilai-nilai kesolehan iaitu tidak melampaui batas dan melakukan kerosakan.
Rujukan:
- Osman Bakar, 2017. Environmental Wisdom for Planet Earth: The Islamic Heritage. Kuala Lumpur. Center for Civilizational Dialogue, University of Malaya. Hal. 1
- Prof. Dr. Hamka, 2008. Tafsir al-Azhar Juz 16-18. Jakarta. Pustaka Panjimas.
- Dato Dr. Siddiq Fadzil. Kuliah Tafsir Maudhuiy Siri Ke-56, Model Kepimpinan Rabbani: Menyorot Pemerintahan Berhikmah Gaya Sulayman al-Hakim ‘a.s. Kajang, Selangor.
- Osman Bakar, 2017. Environmental Wisdom for Planet Earth: The Islamic Heritage. Kuala Lumpur. Center for Civilizational Dialogue, University of Malaya. Hal. 57
- Mohd Farid Mohd Shahran, 2008. Isu-isu dalam Pemikiran Islam. Kuala Lumpur. Angkatan Belia Islam Malaysia. Hal. 137
- Muhjidin Mawardi, Bakti Setiawan, Gatot Supangkat, 2016. Menyelamatkan Bumi Melalui Perbaikan Akhlaq dan Pendidikan Lingkungan, Yogyakarta. Majlis Lingkungan Hidup Pimpinan Pusat Muhammadiyah. Hal. 79