Sekolah Angkat MADANI: Memacu Solidariti Nasional untuk Sekolah Fokus


Dalam landskap pendidikan negara yang semakin mencabar, satu realiti yang tidak boleh kita nafikan ialah kewujudan jurang kualiti antara sekolah-sekolah di seluruh negara. Malaysia memiliki lebih 10,000 buah sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan yang tersebar dari kawasan bandar raya hingga ke ceruk desa dan pedalaman. Namun, tidak semua sekolah berada dalam keupayaan dan keupayaan sokongan yang sama. Sebahagian sekolah berada dalam keadaan yang jauh lebih mencabar—bukan kerana lemah atau gagal, tetapi kerana mereka beroperasi dalam persekitaran yang menuntut perhatian lebih: prasarana yang terhad, pelajar yang memerlukan sokongan berterusan, serta guru yang bergelut dengan beban tugas dan sumber terbatas.

Sekolah-sekolah inilah yang kini dikenalpasti sebagai Sekolah Fokus, satu kategori baharu yang lahir daripada kerangka reformasi pendidikan nasional. Bersama dua kategori lain—Sekolah Aspirasi dan Sekolah Inspirasi—klasifikasi ini meletakkan asas penting dalam usaha menyusun semula sokongan dan intervensi pendidikan negara. Sekolah Fokus merupakan kelompok terbesar dalam sistem kita. Jika Malaysia ingin melonjak maju dalam pendidikan secara menyeluruh, maka Sekolah Fokus-lah titik mula perubahan yang paling kritikal.

Berteraskan prinsip ini, lahirlah Program Sekolah Angkat MADANI 2025, satu inisiatif nasional di bawah payung dasar MADANI yang bukan sekadar program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti yang biasa kita kenali—datang ke sekolah, pasang banner, serah replika cek dan pulang. Program ini jauh lebih mendalam, sistematik dan menyeluruh. Ia adalah ikhtiar strategik kerajaan untuk membina jaringan solidariti antara sekolah, sektor korporat dan masyarakat demi masa depan pendidikan yang lebih adil dan seimbang.

Model Kerjasama Whole-of-Nation

Sebanyak 1,000 buah Sekolah Fokus telah dipilih menyertai fasa awal pelaksanaan program ini. Setiap sekolah diberikan peruntukan asas sebanyak RM100,000 oleh kerajaan sebagai pemangkin awal. Namun, keistimewaan program ini bukan hanya pada dana awalan, tetapi pada strategi kolaborasi yang dibina. Setiap sekolah dipadankan dengan GLC, GLIC, syarikat swasta dan agensi kerajaan lain yang bertindak sebagai rakan pembangunan. ICU Jabatan Perdana Menteri turut memainkan peranan penting sebagai penyelaras dan pemantau keberkesanan program dalam jangka masa panjang.

Keterlibatan GLC dan GLIC ini bukan bersifat simbolik, tetapi sebagai sebahagian daripada gerakan pembangunan pendidikan yang bersifat struktural. Ia mencerminkan satu bentuk inovasi dalam tadbir urus pendidikan: kerajaan bukan lagi bertindak sendirian, sebaliknya membuka ruang penyertaan inklusif kepada pelbagai pihak luar untuk menggalas tanggungjawab pendidikan sebagai urusan negara, bukan semata-mata kementerian.

Lima Teras Intervensi Sekolah Angkat MADANI

Apa yang membezakan program ini adalah pendekatannya yang holistik. Ia tidak hanya menyentuh permukaan, tetapi masuk ke akar sistem dengan lima teras utama:

  1. Infrastruktur & Kemudahan Fizikal – termasuk naik taraf makmal komputer, perpustakaan, bilik darjah, tandas, sistem digital dan pembinaan Smart Classroom.

  2. Akademik & Bimbingan Pelajar – menyediakan kelas tambahan, program mentor-mentee, serta bahan bantu mengajar dan modul sokongan.

  3. Latihan & Pembangunan Guru – termasuk kursus pedagogi moden, latihan digital, dan perkongsian pengalaman antara sekolah berprestasi tinggi dan sekolah fokus.

  4. Bantuan Kewangan Pelajar – merangkumi sokongan kewangan untuk pelajar B40 dan insentif akademik untuk pelajar cemerlang.

  5. Pembangunan Sahsiah & Kemahiran Insaniah – dengan tumpuan kepada latihan kepimpinan, motivasi, komunikasi, serta pengukuhan minat terhadap bidang STEM.

Di samping itu, penglibatan PIBG dan komuniti setempat turut digalakkan secara aktif melalui aktiviti gotong-royong, sokongan moral dan pembangunan budaya sekolah yang positif.

Satu Isyarat Baharu dalam Tadbir Urus Pendidikan

Buat pertama kali dalam sejarah pendidikan negara, pendekatan whole-of-nation ini dilaksana secara tersusun. Ia adalah petanda jelas kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang berpegang bahawa pendidikan bukanlah tanggungjawab eksklusif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tetapi amanah seluruh bangsa. Jika kita boleh bersatu hati membantu mangsa banjir, penganjuran sukan atau urusan kebajikan nasional, kenapa tidak dalam soal pendidikan anak-anak kita?

Maruah Pendidikan adalah Maruah Negara

Program Sekolah Angkat MADANI bukan semata-mata intervensi teknikal. Ia adalah manifestasi nilai solidariti nasional, bahawa tiada sekolah harus tertinggal, tiada pelajar harus terpinggir, dan tiada guru harus berjuang sendirian. Sekolah Fokus adalah lambang harapan, dan setiap usaha untuk mengangkat mereka adalah pelaburan terhadap maruah sistem pendidikan kita sendiri.

Apabila pelbagai pihak—kerajaan, korporat, guru, ibu bapa dan masyarakat—berganding bahu, maka yang terangkat bukan hanya sekolah, tetapi maruah pendidikan nasional.