Pendidikan Keusahawanan: Impak Dan Amalan Literasi Kewangan




Alberta Charney (Ph.D) merupakan seorang penyelidik dalam program Economic and Business Research di Universiti Arizona. Beliau telah mengeluarkan kertas kajian tentang beberapa impak pendidikan keusahawan yang dijalankan di sekitar Amerika. Pelbagai impak telah disenaraikan. Namun, ada satu impak yang menarik perhatian dan seiring dengan agenda pembelajaran abad ke-21 yang sedang giat dipraktikkan di seluruh negara.


Dalam kajian beliau bertajuk Impact of Entreprenuership Education, beliau mendapati bahawa pendidikan keusahawanan mampu menyediakan pelajar dengan lebih banyak peluang seiring dengan perkembangan pesat dunia teknologi. 


“We don’t live in 1950 anymore. We need to undergo a revolution in how we view education. You have a duty to teach the young people, the generators of wealth in the future. The future of education will gradually be changed. This means that educators are going to have to stress on concepts and principles, rather than the drudgery of memorization.”

-Michio Kaku-


Rasulullah dan Pendidikan Keusahawanan


Sejak berusia 12 tahun lagi, Nabi Muhammad sering mengikut Abu Talib ke Syam untuk berniaga. Walaupun sekadar membantu, pelbagai ilmu dan kemahiran yang baginda pelajari. Melalui perdagangan, baginda menimba pelbagai ilmu. Ilmu matematik baginda ialah praktikal pengiraan masa perjalanan antara Mekah dan Syam, pengiraan stok dan permintaan, pengiraan untung dan rugi.


Ilmu bahasa baginda diperolehi semasa menjalankan urus niaga dengan individu yang lebih berusia dan lebih berpengalaman daripada baginda sendiri. Sudah tentu mereka menggunakan laras bahasa yang tinggi. Terlalu banyak yang baginda belajar melalui amalan perdagangan dan perniagaan yang kita gelarkan sebagai pendidikan keusahawanan hari ini.


Setelah dewasa, Siti Khadijah telah mengamanahkan baginda untuk menguruskan perniagaannya. Tanpa disangka, perniagaan Khadijah melonjak dan mendapat keuntungan berlipat ganda. Tentu sekali kemahiran baginda berniaga tidak muncul dalam tempoh semalaman. Segala PENGETAHUAN, SIKAP dan KEMAHIRAN baginda dibina sejak usia belasan tahun lagi. 


Pandangan Ulama Silam


Perkataan al-tijarah digunakan sebanyak enam kali di dalam Al-Quran. Allah membandingkan dalam beberapa ayat quran tentang ibadah dan perniagaan. Allah menyifatkan orang-orang yang mendirikan solat, menunaikan solat, membelanjakan harta ke jalan Allah dan orang yang berjihad sebagai suatu perniagaan yang tidak akan rugi.


Al-Bukhari juga memasukkan satu bab khusus tentang perniagaan di dalam Sahih al-Bukhari (Kitab Al-Buyu’) lebih awal berbanding bab munakahat mahupun jinayah. Menurut Badr al-Din al-‘Ayni, terdapat ramai ulama yang berpandangan bahawa manusia mampu untuk tidak berkahwin tetapi semua manusia tidak terlepas dalam urusan perniagaan, sama ada sebagai penjual atau pembeli. Para ulama juga berpandangan bahawa perniagaan adalah bidang yang afdal untuk diceburi. Ini berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh al-Miqdam yang bermaksud:


Tidaklah seseorang itu makan daripada makanan yang lebih baik daripada hasil apa yang diusahakan oleh tenaganya sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Daud a.s makan daripada hasil yang diusahakan oleh tangannya sendiri.


Pendidikan Keusahawanan – Learning by Doing


“membangunkan dan menguruskan perniagaan lebih menarik berbanding kerja sekolah yang lain. Dalam perkataan lain, ia seronok. Kami sangat suka belajar secara praktikal.”

-Pelajar, Randolph County Vocational – Technical Centre-


Di Walhalla High School di Selatan Karolina, Harriet Templin, seorang guru pendidikan keusahawanan sedang mengajar tentang pendidikan keusahawanan.


Templin: Jika hujan mustard turun apakah perniagaan yang kamu akan lakukan?

Pelajar A: Sudah tentu saya akan menjual hotdog. Kos saya sudah berkurangan.

Templin: Kamu rasa orang akan makan hotdog dengan mustard  hari-hari? 

Pelajar B: Lebih baik saya beli hotdog kosong dan tadah hujan mustard sendiri.


Satu kelas berdekah dengan tawa.


Templin: Saya rasa pelajar B tidak silap. Kenapa saya perlu bayar sedangkan saya boleh dapat percuma dengan sedikit usaha.

Pelajar C: Saya rasa, jika hujan mustard berterusan, saya akan membuka bisnes payung.

Templin: Bagaimana kamu ingin menjualnya?

Pelajar C: Letak di kiosk jualan? Atau mungkin melalui jualan langsung di jalanan ketika sedang hujan.

Pelajar D: Sir, saya rasa terkena hujan ialah satu perkara yang tidak dapat dielakkan sekalipun kita menggunakan payung. Dalam situasi ini, saya rasa jualan stain remover akan meningkat dengan drastik. 


Beginilah Harriet Templin memulakan kelas pendidikan keusahawanan. Templin sentiasa mengingatkan kelasnya :


“Usahawan sebenar, ialah mereka yang mencipta idea bisnes untuk menyelesaikan masalah. Jika kamu membeli francais McDonald, kamu belum layak bergelar usahawan.”


Idea dan konsep bisnes yang dibangunkan bukanlah saja-saja untuk berseronok dan habis di situ sahaja. Ia merupakan permulaan kepada suatu aktiviti yang menarik, perniagaan sebenar yang dilakukan di sekolah. Idea, konsep dan perancangan bisnes yang telah siap akan dibentang di hadapan bebarapa orang panel juri sebelum mereka memulakan perniagaan. Dana permulaan turut diberikan oleh pihak-pihak tertentu. Setiap pelajar, akan memperolehi bahagian keuntungan masing-masing di akhir projek.


Program pendidikan keusahawanan di Walhalla High School telah mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan beberapa kali. Di samping itu, beberapa pihak termasuk Kauffman Foundation turut memberikan dana yang banyak untuk pembangunan dan pelestarian program tersebut. Walaupun orang ramai melihat impak pendidikan keusahawanan dalam kejayaan start up pelajar-pelajar Walhalla high School, Templin ada pandang sisi lain tentang pendidikan keusahawanan.


“Pendidikan keusahawanan bukanlah tentang membuka perniagaan dan menjadi kaya. Bukan semata – mata untuk itu. Pendidikan keusahawanan adalah supaya para pelajar saya dapat mengubah persepsi tentang diri mereka sendiri, supaya mereka tahu dan sedar bahawa mereka boleh berjaya.”


Penipu dan Mangsa Penipu


Rakyat Malaysia sudah mula ditipu dengan pelbagai skim cepat kaya. Bermula pada tahun 90-an dengan Skim Pak Man Telo, rakyat Malaysia terus ditipu sehingga ke hari ini. Nilai penipuan sejak itu sudah mencecah billion Ringgit Malaysia. Tidak serik-serik lagi.


Beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat-syarikat penipu yang ‘menjual dan membeli’  emas secara tangguh sangat mudah memperdaya rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu yang beragama Islam. Kononnya dengan harapan untuk mengembalikan zaman kegemilangan dinar emas seperti di zaman Khalifah. Tidakkah mereka ini tahu bahawa pembelian emas secara tangguh hukumnya haram? Ya, mereka tidak tahu!


Terbaru, pada penghujung Mac 2017, sebuah syarikat penipu, Venus FX yang berselindung di belakang pelaburan Forex telah diserbu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman. Seramai 23,259 rakyat Malaysia telah kerugian hampir RM80 juta. Antara mereka yang ditipu, sekali lagi terdiri daripada orang yang beragama Islam. Sudahlah rugi di dunia, rugi juga di akhirat. 

Kenapa perkara ini berlaku? Jawapannya terlalu mudah. Ramai rakyat Malaysia mudah tertipu kerana mereka tiada ilmu; Asas ilmu keusahawanan. Golongan yang tertipu ini tidak faham bagaimana sesuatu sesuatu pelaburan itu berlaku. Tidak dapat membezakan antara money game dan pelaburan yang sah. Orang-orang Islam yang tertipu, mereka tidak pernah mendengar hadis nabi yang berikut:


“Jika emas dijual dengan emas, perak dijual dengan perak, gandum dijual dengan gandum, sya’ir dijual dengan sya’ir, kurma dijual dengan kurma, garam dijual dengan garam, maka jumlah timbangan harus sama dan dibayar tunai. Barang siapa menambah atau meminta tambahan, maka ia telah berbuat riba. Orang yang mengambil tambahan tersebut dan orang yang memberinya sama-sama berada dalam dosa.” (HR Muslim no 1584)

 

Kini, kes-kes penipuan money game dan skim piramid telah menular sehingga kepada pelajar universiti. Sudahlah masalah pengangguran semakin meruncing. Ditambah pula dengan ‘buta literasi kewangan’ dan penipu. Besar dugaan bagi generasi akan datang. Apakah yang kita boleh lakukan untuk menjamin kelangsungan generasi masa hadapan? Bukankah Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Elemen Keusahawanan sekitar tahun 2010 untuk diintegrasikan ke dalam kurikulum merentas subjek? Apakah yang telah terjadi kepada inisiatif ini? Sepatutnya sudah lahir beberapa generasi usahawan muda yang hebat hasil daripada Elemen Keusahawanan yang diperkenalkan. Di manakah mereka?