Dalam menanggapi pelbagai pandangan masyarakat, khususnya yang mempertikaikan keberhasilan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, wajar untuk kita mengimbau dan menilai dengan adil beberapa pencapaian utama yang telah digerakkan secara sistematik. Tiga agenda besar berikut merupakan antara manifestasi jelas ke arah reformasi pendidikan yang lebih manusiawi, holistik dan berasaskan keperluan semasa.
1. Dasar Pendidikan Digital – Satu Langkah Sejarah
Buat pertama kali dalam sejarah negara, Malaysia telah melancarkan Dasar Pendidikan Digital yang bersifat menyeluruh dan berpandukan hala tuju strategik. Berbeza dengan usaha terdahulu seperti Makmal Komputer dan Sekolah Bestari pada era 1990-an dan awal 2000-an, dasar ini menjadi rujukan utama dalam pendigitalan sistem pendidikan. Ia menetapkan kerangka nilai, prinsip serta sasaran yang perlu dicapai untuk memastikan transformasi digital berlaku secara terancang, inklusif dan mampan. Ini bukan sekadar pemodenan alat, tetapi peralihan paradigma dalam pedagogi dan akses pendidikan masa hadapan.
2. Pemerkasaan Autonomi Guru dan Desentralisasi Pengurusan
Sebagaimana termaktub dalam Gelombang Ketiga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025, pemerkasaan guru menjadi tunjang perubahan pendidikan. Dalam 100 hari pertama pentadbiran Menteri Pendidikan, satu pekeliling penting telah dikeluarkan bagi memberikan ruang autonomi kepada guru dalam menentukan pendekatan pengajaran, bahan bantu mengajar dan kaedah pentaksiran bersesuaian dengan konteks murid.
Langkah ini merupakan permulaan kepada proses desentralisasi yang bersifat substantif. Kuasa diberikan kembali kepada guru — bukan sekadar sebagai pelaksana dasar — tetapi sebagai pemegang amanah dalam membentuk hala tuju bilik darjah masing-masing. Autonomi ini memperkukuh amalan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) pasca pemansuhan UPSR dan PT3, dengan pendekatan yang lebih menyantuni potensi dan perkembangan murid secara holistik.
3. Pemulihan Pasca-Pandemik – Agenda Nasional yang Mendesak
Tempoh penutupan sekolah semasa pandemik COVID-19 mencatatkan antara yang paling panjang di dunia. Implikasinya amat besar, terutama kepada murid tahap awal yang ketinggalan dari segi literasi asas. Misalnya, bilangan murid yang memerlukan intervensi 3M meningkat hampir dua kali ganda — dari purata 73,000–76,000 ke lebih 122,000 murid pada tahun 2023.
Sebagai respons, KPM telah melaksanakan saringan awal Tahun Satu dan memperkenalkan intervensi khas. Keputusan awal menunjukkan kejayaan menyelamatkan lebih 72,000 murid dalam tempoh setahun. Pendekatan ini bukan bersifat reaktif, tetapi merupakan satu pelaksanaan berskala nasional yang menuntut koordinasi menyeluruh — melibatkan guru, pentadbir, ibu bapa dan komuniti.
Tambahan pula, melalui Belanjawan 2024, YAB Perdana Menteri telah meluluskan dana RM100 juta untuk intervensi menyeluruh sehingga peringkat Tingkatan Lima — satu pengiktirafan bahawa kesan pandemik bersifat melintang dan perlu ditangani secara whole-of-nation approach.
Dasar, Pelan Baharu & Kerangka Masa Depan
Selain pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital, KPM kini dalam fasa akhir penggubalan Pelan Pendidikan Malaysia baharu yang akan menggantikan PPPM menjelang akhir 2025. Prosesnya melibatkan sesi libat urus berskala besar sepanjang 2024, berasaskan prinsip inklusiviti, buy-in komuniti pendidikan, dan kepimpinan perubahan yang berhemah. Dalam hal ini, keterlibatan masyarakat melalui inisiatif seperti #kurikulumkita menunjukkan keterbukaan KPM mendengar suara rakyat dalam penggubalan Kurikulum Persekolahan 2027.
Namun, perubahan ini tidak dilakukan secara tergesa-gesa. Pelaksanaan kurikulum baharu dirancang mengikut disiplin kitaran yang tersusun — daripada kajian awal, pembangunan kandungan, uji rintis, penataran guru, penerbitan bahan, sehinggalah pelaksanaan penuh. Ia akan bermula pada 2026 bagi prasekolah dan 2027 bagi murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu.
Cabaran Akar Umbi dan Jurang Pelaksanaan
Realiti pendidikan tidak dapat dinilai secara simplistik atau berdasarkan persepsi dari kejauhan. Terdapat lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dengan konteks, cabaran dan sumber yang pelbagai. Banyak isu utama pendidikan sebenarnya bersifat mikro, berakar di peringkat bilik darjah — dari kekurangan guru, kesesakan sekolah, isu 3M, hinggalah kepada kemudahan asas seperti tandas rosak atau sekolah daif.
KPM dalam dua tahun ini telah berusaha menangani jurang besar antara dasar dan pelaksanaan. Isu warisan seperti pembinaan SJKT yang tertangguh selama lebih 15 tahun akhirnya berjaya diselesaikan. Usaha berterusan seperti ini seringkali tidak menonjol dalam wacana awam, namun amat bermakna kepada komuniti yang terlibat secara langsung.
Menuju RMK13 dan Dasar Wajib Pendidikan Menengah
Sebagai kesinambungan, KPM kini memberi tumpuan kepada reformasi struktural dalam kerangka Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026–2030. Antara perancangan penting yang sedang diperhalusi ialah pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib sehingga sekolah menengah, yang akan dibentangkan di Parlimen. Langkah ini merupakan komitmen jangka panjang ke arah memastikan akses pendidikan yang menyeluruh dan adil kepada semua kanak-kanak Malaysia.