Pendahuluan
Penulis meletakkan tiga faktor asas untuk difahami sebagai mendasari perbincangan berkaitan merungkai kekeliruan dalam PBS. Satu, soal memahami pentaksiran sebagai suatu tugas kependidikan. Dua, soal memahami makna ‘pentaksiran’ dan istilah yang berkaitan dengan pentaksiran, dan ketiga, soal memahami evolusi PBS dari 2011 sehingga sekarang. Tiga perkara ini penting untuk ditekankan kerana implikasinya secara langsung kepada kelestarian ekosistem dalam keberadaan sistem PBS, terutama melibatkan pelaksana, iaitu guru di sekolah.
Faktor Memahami Tugas Pentaksiran
Pertama, dengan memahami bahawa mentaksir ini sebahagian daripada tugas asasi keguruan, akan meletakkan suatu mind setting kepada guru, bahawa walau apa pun sistem yang diperkenalkan kementerian pendidikan, guru tetap perlu mentaksir perkembangan murid bagi memenuhi makna tugas seorang guru.
Walaupun tiada PBS, guru tetap perlu melalui kerja-kerja pentaksiran, seperti menyediakan instrumen pengujian dari masa ke masa, mempunyai satu kaedah pengukuran yang sistematik, menilai tahap perkembangan murid, dan seterusnya melaporkan perkembangan murid kepada pihak berkepentingan. Nah, daripada pemahaman ini, kita akan menyedari bahawa tiada apa-apa perubahan yang ketara yang membezakan tugas asasi pentaksiran sama ada dengan menggunakan sistem PBS, atau tanpa sistem PBS.
Hujah seperti kekeliruan dalam menyediakan instrumen dan merekod pencapaian murid, kekeliruan cara menggunakan kayu ukur berasaskan standard, kekeliruan dalam menilai murid dengan memberikan satu nilai Tahap Penguasaan Akhir murid pada setiap akhir tahun, dan seterusnya kekeliruan dalam cara membuat pelaporan; itu semua sebenarnya adalah isu teknikal yang boleh diatasi. Pokoknya, semangat asasi tugas pentaksiran itu sendiri tidak hilang dan tidak mengelirukan.
Oleh itu, tugas mendapatkan maklumat dan ilmu bagi menjalankan tugas asasi ini juga sudah tentunya merupakan tugas hakiki setiap guru; bukan sekadar Setiausaha Peperiksaan sahaja. Malahan, hal yang bersifat teknikal ini sebenarnya boleh diperolehi terus daripada Lembaga Peperiksaan dan Bahagian Pembangunan Kurikulum, malah boleh dimuat turun secara dalam talian.
Faktor memahami istilah dan amalan berkaitan pentaksiran
Kedua, dengan memahami bahawa mentaksir ini merupakan suatu proses diagnostik bagi menambah baik pengalaman pembelajaran dan pengajaran dari hari ke hari, masyarakat umum, terutama komuniti guru sebagai pelaksana akan mengerti bahawa pentaksiran bukanlah suatu matlamat akhir atau matlamat utama dalam pembelajaran; sudah tentu pentaksiran ini bukan sebagai suatu produk, apa lagi dijadikan suatu high-stakes apabila dijadikan kiblat kepada pembelajaran.
Kita lihat hari ini. Jadilah seperti apa yang telah terjadi. Kita mengajar, dan murid belajar; kedua-duanya dengan berorientasikan kepada tujuan penilaian dan peperiksaan. Kesannya, tekanan yang berlebih-lebihan kepada pengujian atau peperiksaan sehinggakan menghilangkan nilai, makna, dan keseronokan persekolahan dan dunia pembelajaran.
Maka jadilah sekolah kita seperti kata ‘more testing than educating.’ (Siddiq, 2009, m.s. 30).
Anggapan umum bahawa prestasi akademik adalah penentu masa depan telah menjadikan alam persekolahan sebagai gelanggang hempas pulas yang tegang, terbeban, dan tertekan. “Are we preparing them for success, or overloading them with stress?” (Siddiq, 2009, m.s. 31).
Memanglah tidak dinafikan, terdapat kayu ukur dan fungsi penilaian pada akhirnya dalam konteks pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning), namun bukan itu sahaja konteks yang ada. Ada lagi konteks yang sering diabaikan, dilupakan dan ditinggalkan, iaitu pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning), iaitu bahasa mudahnya, taksir dahulu, baru tentukan bagaimana perlu belajar atau mengajar. Pentaksiran untuk pembelajaran juga boleh berlaku semasa pembelajaran (assessment as learning).
Dengan mod pentaksiran yang pelbagai, pastinya memberikan pengalaman pengajaran dan pembelajaran yang lebih menghidupkan, lantaran ruang maklum balas daripada murid diambil kira sebelum memulakan kelas. Lantas, pengujian itu akan muncul sebagai wahana kepada proses penambahbaikan untuk kegunaan guru dan murid; mungkin instrumen pengujian akan menjadi lebih banyak daripada sebelum adanya PBS, tetapi, instrumen ini bersifat low-stake dan berfungsi sebagai sebahagian daripada pembelajaran.
Pengujian bukan lagi bertujuan untuk memberi gred kepada murid, tetapi sebagai sebahagian daripada bahan bantu belajar, dan bahan bantu guru dalam tugas mendiagnos. Inilah yang dimaksudkan dengan pentaksiran.
Berkaitan masalah memahami fungsi dan modus operandi pentaksiran ini pula, bukanlah perkara baharu. Kelemahan penguasaan fungsi pentaksiran untuk pembelajaran ini telah diwarisi lama sebelum kehadiran PBS lagi, barangkali, sejak kementerian punya sistem persekolahan lagi.
Poinnya, perkara ini perlu dihentikan dengan memahami erti dan semangat dalam istilah kata ‘pentaksiran’; bukan penilaian atau peperiksaan.
Lantas, PBS hadir dengan memberi nafas dan jenama, atau pakej yang baharu, bagi menghentikan kegilaan masyarakat mengejar bilangan A, dengan mengubah skala pengukuran daripada A-B-C kepada Band dan Tahap Penguasaan, daripada berasaskan norma kepada berasaskan rujukan standard, daripada pengujian high-stake kepada pengujian low-stake, dan daripada pelaporan A-B-C kepada pelaporan Deskriptif yang lebih bermakna. Pembelajaran berorientasikan peperiksaan perlu dihentikan segera.
Faktor memahami perubahan dan evolusi perkembangan PBS
Ketiga, evolusi perkembangan PBS perlu difahami. Seperti yang dicitrakan, PBS ini bukanlah suatu perubahan yang berhasrat kecil-kecilan. PBS ialah suatu lonjakan besar kepada sistem yang telah lama mewarisi orientasi peperiksaan, dan sudah tentunya bukan bersifat kosmetik. Dalam kaitan ini, saranan daripada NGO dan kumpulan Masyarakat Sivil perlu diambil kira.
Kredit perlu dan sewajarnya diberikan kepada pihak KPM dalam menyantuni keperluan serta kebajikan guru, pada masa sama mengekalkan keputusan dan tekad murni ini.
Kita perlu jelas akan wajah fizikal KPM yang mana merupakan suatu organisasi raksasa yang punya komuniti guru lebih daripada 400 000 orang dengan lebih 10 000 buah sekolah di seluruh negara. Lantas, setiap perubahan memerlukan masa yang panjang untuk disampaikan, difahami, serta tindakan hingga ke peringkat akar umbi.
Kajian LP pada September 2012 mendapati bahawa 90% guru tahun 1, 2 dan 3 serta 83% guru tingkatan 1, tidak jelas tentang konsep pentaksiran. Itu merupakan tahun kedua PBS dilaksanakan. Peratusan yang begitu besar ini menunjukkan bahawa setiap perubahan memerlukan masa untuk dihadami dengan baik (Nurzeliana, Norazilawati dan Saniah, 2014).
Oleh itu, maklumat yang sampai di peringkat sekolah juga perlu crystal-clear, selari seperti yang dihasratkan, dan yang paling penting, berada dalam tahap kebolehlaksanaan (feasibilities) yang tinggi.
Daripada segi pengamalan di sekolah, kita mendapati bahawa tidak ada satu pun tahun yang mana sekolah mempunyai sistem yang sama dan seragam untuk kesemua tahun murid, sehinggalah pada tahun 2022. Maka, untuk kekeliruan berlaku yang disebabkan oleh isu penyampaian yang tidak berkesan, sebenarnya boleh difahami dan dijangkakan.
Contohnya, bayangkan kisah seorang guru Matematik yang mengajar murid Tahun 2 dan Tahun 4 pada 2015. Guru ini perlu menguasai kandungan kurikulum KSSR (yang mana merupakan pelaksanaan tahun keempat untuk Tahun 2, dan tahun kedua untuk murid Tahun 4), DSK-DSP(PPPM) Tahun 2, dan DSKP Tahun 4. Perekodan PBS pula, berbeza-beza untuk Tahap 1 (yang disediakan LP) dan Tahap 2 (yang disedikan BPK). Selain itu, guru itu juga, bagi pihak sekolah turut perlu membuat pelaporan dalam Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), satu lagi program KPM di bawah inisiatif NKRA sejak 2011.
Jelas ada redundancy tugas yang sangat ketara.
Seperti yang kita sedia maklum, menguasai satu-satu kemahiran memerlukan masa, apatah lagi dengan kerencaman pelbagai sistem dan jenis perekodan serta pelaporan oleh pihak yang berbeza-beza. Perlu diingatkan, tahun 2015 merupakan tahun kedua dalam transisi penambahbaikan PBS.
Kerencaman sebegini sebenarnya masih berterusan pada tahun 2016, dan akhirnya, keseragaman sistem kurikulum dan pentaksiran hanyalah akan berlaku pada tahun 2022.
Itupun, dengan andaian sekiranya sekolah berkenaan tidak terlibat dalam program tertentu seperti Dual Language Programme (DLP) yang juga menambah kerencaman dalam pelaksanaan dan pengurusan kurikulum di sekolah bermula tahun 2016 untuk murid Tahun 1, Tahun 4 dan Tingkatan 1.
Kita perlu ada rasa empati serta jujur dalam merungkai kemelut dan polemik berkaitan PBS yang banyak melibatkan kelestarian ekosistem di sekitarnya. Penulis cuba bersikap asertif bagi menyeimbangkan artikel ini daripada perspektif penggubal dasar, perspektif pentadbir dan perspektif guru di lapangan.
PBS: Jalan kehadapan
Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, PPPM 2013-2025, ‘pentaksiran’ disebut akan menumpukan kepada peningkatan terhadap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Peratusan soalan yang berbentuk pemikiran aras tinggi akan ditambah sehingga merangkumi 80% daripada keseluruhan soalan dalam UPSR, 80% dalam Pentaksiran Pusat untuk Tingkatan 3 (PT3), 75% daripada keseluruhan soalan mata pelajaran teras tingkatan 5 SPM, serta 50% daripada mata pelajaran elektif tingkatan 5 SPM menjelang tahun 2016 (PPPM, 2013, m.s. 21).
Peratusan yang tinggi ini sebenarnya suatu cabaran kepada guru dan murid dalam meningkatkan penguasaan kemahiran berfikir secara konsisten dari tahun ke tahun.
Dengan kata lain, masa kita sangat suntuk. Dengan tugasan pendidikan yang tidak kunjung sudah, kita sudah tidak mampu lagi untuk berpolemik dan sentiasa dalam keadaan tidak bersedia dan tidak pasti; masih lagi keliru pada aspek semangat dan pelaksanaan PBS sehinggakan meruntuhkan keseluruhan hasrat dan usaha penambahbaikan ini. Walau bagaimanapun, setelah penambahbaikan dilakukan sejak 2014, para guru sudah mula mendapat rentak yang semakin baik dan masalah pengoperasian juga berkurangan berbanding semasa PBS dimulakan pada 2011. Namun, masih banyak ruang bagi memastikan semangat dan pengoperasian PBS sentiasa dalam landasannya.
Cadangan dan inovasi penambahbaikan
Kajian Nurzeliana et. al. (2014) juga telah mengemukakan tiga cadangan bagi penambahbaikan pelaksanaan PBS iaitu memperbanyakkan latihan dan bengkel dalam pentaksiran, mengadakan pemantauan yang konsisten dan bermatlamat, dan yang ketiga, mengurangkan gangguan tugasan yang tidak melibatkan pengajaran dan pembelajaran.
Cadangan ini selari dengan cadangan daripada NGO masyarakat sivil seperti ABIM, dengan turut memberi penekanan kepada pengupayaan pakar rujuk di lapangan (local experts) seperti Jurulatih Utama di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), dan kumpulan Guru Pakar yang berotoriti. Yang paling penting, sistem sokongan guru perlu dilengkapi bagi menjamin kelancaran pelaksanaan PBS.
Selain itu, konsep PBS yang menekankan tentang pentaksiran yang bersifat low-stakes sepatutnya diangkat sebagai pendekatan yang mesra kepada pembelajaran dan pengajaran. Pada ketika ini, jelas kelihatan bahawa Pentaksiran Pusat, secara kedudukannya, mempunyai ‘nilai’ yang paling tinggi (high-stakes) berbanding PS, PPsi, dan PAJSK.
Contohnya, Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) masih dilayani secara high-stake seperti mana Penilaian Menengah Rendah (PMR). Adakah UPSR yang akan dimansuhkan pada tahun 2017 dan digantikan dengan PP akan menerima kesan yang sama?
YB Menteri Pendidikan pada 26 Oktober 2016 menyatakan, “Melalui PBS yang dijangka menggantikan UPSR kelak, hanya 50 peratus keputusan peperiksaan murid tahun enam diambil kira daripada keseluruhan pencapaian mereka dengan markah selebihnya diperoleh daripada tingkah laku dan kokurikulum”. Beliau menambah, “...bagaimanapun bagi melayakkan seseorang itu ke asrama penuh, pihak KPM akan mewujudkan peperiksaan secara one off dan tidak membebankan seperti hari ini”.
Barangkali, pendekatan ini merupakan suatu inovasi yang mungkin menjadikan pentaksiran pusat tahun enam nanti tidak menjadi seperti PT3. Sungguhpun begitu, beliau tidak menolak bahawa model yang digunakan ialah model PT3.
Menempuh cabaran
PBS ini merupakan suatu inovasi dalam program transformasi pendidikan sejak 2011. Lantas, cabarannya bukan sedikit dan perlu ditempuhi bagi memastikan keberhasilan dalam sistem pendidikan di Malaysia. Pada tahun 2010 sehingga 2013, pada peringkat UPSR, secara purata, sebanyak 3% murid atau 15 000 orang murid berada di bawah tahap penguasaan minimum (Semua Gred D/E, atau kombinasi kedua-duanya), manakala pada peringkat SPM, secara purata, sebanyak 5% murid atau 21 000 orang murid berada dalam gred terendah (D, E dan G) (Kertas Strategi RMK 11, 2015).
Begitu juga penandaarasan peringkat antarabangsa Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2011) dan Programme for International Students Assessment (PISA 2012), yang mana Malaysia mendapat skor 426, iaitu berada di bawah garis purata antarabangsa, skor 500 untuk TIMSS dan dalam kelompok sepertiga terbawah dalam kalangan 74 negara peserta PISA.
Kita sudah tidak mampu lagi untuk terus ketinggalan dalam peringkat antarabangsa, serta tidak rela lagi membiarkan ribuan murid-murid mengakhirkan pendidikan di sekolah pada tahap penguasaan minimum setelah 11 tahun melalui sistem pendidikan kebangsaan. Lantas, jalan kehadapan perlu ditempuh dengan berani selaras dengan transformasi negara. Sehinggalah pengakhiran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia pada 2025 nanti adakah bakal membuahkan hasil seperti yang kita harapkan?
Ibrah perjuangan Musa as
Sesungguhnya, membawa agenda besar sememangnya suatu amanah yang besar dan berat. Mengingatkan kita kepada amanah perjuangan nabi Musa as membawa misi memerdekakan bangsa yang telah lumpuh, akibat bertahun-tahun dianiaya, diperhamba dan ditindas, sehingga jiwa hamba sebati dengan watak bangsa bani Israil itu.
Malah, lebih teruk, kehidupan hina sebagai hamba dianggap suatu norma dan biasa-biasa sahaja.
Setelah mereka diberdayakan dengan pembinaan keyakinan, pembinaan maruah, kehormatan dan harga diri sebagai manusia yang dimuliakan Tuhan, serta pembangunan jiwa optimisme bahawa nasib mereka boleh berubah dan harus berubah, juga pembangunan idealisme umat yang merdeka dan berdaulat, akhirnya mereka sanggup berhijrah meninggalkan ‘zon selesa’ mereka, menyeberangi Laut Merah ke tanah yang serba baharu kepada mereka; suatu tindakan berani memerangi Firaun, Hamman, dan seluruh jentera kerajaan Firaun.
Namun, setelah mereka terselamat, dan tinggal selangkah lagi untuk memasuki negeri baharu yang menjanjikan kemerdekaan dan kedaulatan, mereka gagal untuk berhijrah bersama-sama dengan nabinya sehingga ke tanah yang dijanjikan. Sejarah menukilkan bahawa bangsa itu tidak sanggup untuk berhadapan dengan qawman jabbarin, kaum teroris yang mesti diperangi yang menempati tempat tersebut. Mereka menjawab, “...maka pergilah engkau bersama Tuhanmu, dan perangilah mereka. Kami mahu bersenang-senang sahaja di sini.” (Al-Maidah:24).
Ternyata, jiwa hamba yang mereka warisi sekian lama amat sukar dicabut hingga ke akar umbi. Sejarah membuktikan bahawa mengubah jiwa merdeka sememangnya suatu tugas yang begitu sukar. Atas sebab inilah, perubahan perlu dilakukan secara berterusan agar kita tidak menerima nasib yang sama dan malang, serta berdosa dengan generasi yang akan datang.