Mutakhir ini, idea Menteri Pendidikan untuk mewujudkan sekolah khas bagi orang miskin mendapat pelbagai reaksi dan maklum balas. Sememangnya Menteri Pendidikan yang cukup serius untuk menangani segala jenis keciciran murid dalam dunia pendidikan. Usaha murni untuk memastikan tiada keciciran dalam pendidikan yang selari dengan hasrat SDG iaitu “leave no one behind” telah membuka peluang untuk mewujudkan sekolah khas untuk golongan miskin telah mengundang kritikan masyarakat.
Namun, masyarakat kita secara umumnya menerima Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang membantu golongan termiskin untuk mendapatkan kemudahan perumahan yang lebih baik daripada daripada program tersebut. Tetapi mengapakah idea sekolah khas untuk golongan miskin menjadi sasaran kritikan?
Alasan kecaman tersebut kerana telah wujudnya program Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi kemudahan rakyat yang kurang berkemampuan untuk bersekolah, mendapatkan akses persekolahan yang lebih baik dan dilengkapi dengan kemudahan asrama penuh. Namun, sekolah SBP dan MRSM hanya untuk murid sekolah menengah yang mempunyai prestasi yang baik. Bagaimana pula dengan murid di sekolah rendah dan sekolah menengah yang mempunyai prestasi akademik yang kurang memuaskan? Apakah wujud program asrama penuh khusus bagi murid berkenaan? Dan apakah usaha murni untuk mewujudkan pelbagai program tambahan wajar diberikan kritikan?
Bayangkan murid seawal tahun 4 sehingga tahun 6 daripada seluruh pelosok pedalaman, masyarakat miskin bandar dan murid terpinggir yang kurang kemampuan dikumpulkan dan diberikan segala macam kemudahan seperti asrama penuh, program rancangan makanan tambahan (RMT), program sarapan percuma, pemberian biasiswa dan tuisyen percuma di satu sekolah khas untuk golongan ini? Sudah tentu ianya memberikan kemudahan dan kelebihan kepada golongan yang memerlukan kemudahan ini. Ianya memberikan nafas lega bagi sesetengah keluarga yang perlu mengeluarkan lebihan wang untuk belanja pengangkutan, belanja harian dan lain-lain lagi apabila sekolah ini diwujudkan.
Pendidikan sememangnya merupakan mobiliti sosial untuk meningkatkan taraf dan martabat individu. Sudah tentu sekolah berkenaan mengangkat martabat karamah insaniah melalui akses pendidikan yang terbaik. Sekolah khas yang khusus untuk orang miskin memiliki beberapa kepentingan yang signifikan dalam usaha dan upaya meningkatkan akses pendidikan dan kesejahteraan bagi kumpulan ini. Berikut merupakan 10 kepentingan utama dari program sekolah khas untuk orang miskin:
1. AKSES KEPADA PENDIDIKAN: Sekolah khas untuk orang miskin memberikan akses pendidikan kepada mereka yang mungkin terpinggir dari sistem pendidikan formal kerena kesukaran sosio-ekonomi. Hal ini memungkinkan anak-anak dari latar belakang ekonomi rendah untuk mendapatkan akses pendidikan yang lebih baik dan menjadi peluang untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.
2. MERAPATKAN JURANG PERBEZAAN: Sekolah khas untuk orang miskin membantu mengurangi kesenjangan pendidikan yang sering kali terjadi antara kelompok miskin dan kaya. Dengan memberikan peluang yang sama kepada murid dari latar belakang ekonomi yang berbeza, sekolah khas ini membantu mengatasi masalah perbezaan pendidikan.
3. MENGATASI CABARAN: Murid dari latar belakang miskin sering kali menghadapi cabaran seperti kurangnya sokongan untuk belajar di rumah, masalah gizi yang tidak sihat dan persekitaran yang tidak kondusif. Sekolah khas yang dirancang bagi mengatasi cabaran ini dengan memberikan sokongan khusus seperti program kesihatan, sokongan psikososial dan bantuan belajar tambahan seperti biasiswa dan rancangan makanan tambahan (RMT).
4. PENDIDIKAN INKLUSIF: Sekolah khas untuk orang miskin dapat berfungsi sebagai wadah bagi pendidikan inklusif, dimana murid dengan keperluan khusus atau berkeperluan khas ini juga dapat diberikan perhatian yang sesuai. Hal ini akan menciptakan persekitaran belajar yang lebih inklusif dan pelbagai.
5. PEMBERDAYAAN KEMAHIRAN: Sekolah khas dapat menekankan pemberdayaan kemahiran dan kebolehan bagi golongan miskin seperti kemahiran hidup, kemahiran TVET, dan pelatihan kemahiran kerja. Hal ini akan membantu meningkatkan peluang pekerjaan dan kemandirian ekonomi murid di kemudian hari.
6. KESEDARAN TERHADAP KEPENTINGAN KESIHATAN: Sekolah khas dapat menjadi platform untuk memberikan pengetahuan tentang kepentingan kesihatan, kebersihan dan pembudayaan gaya hidup sihat kepada murid dan keluarga mereka. Hal ini akan membantu untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kesihatan dan kesejahteraan dalam keluarga terutamanya golongan yang miskin.
7. PROSES PEMBERDAYAAN MASYARAKAT: Dengan memiliki sekolah khas untuk orang miskin, masyarakat menjadi lebih terlibat dalam proses pendidikan anak-anak mereka. Perkara ini akan menciptakan hubungan yang lebih erat antara sekolah, guru, NGO dan komuniti untuk turut terlibat sama dalam memastikan semua lapisan masyarakat membantu mengatasi miskin tegar melalui pendidikan yang terbaik.
8. USAHA MENOKTAHKAN KEMISKINAN: Dengan memberikan pendidikan yang bermutu kepada anak-anak dari latar belakang miskin, sekolah khas dapat membantu menoktahkan kemiskinan tegar. Pendidikan yang baik dapat membuka pintu peluang yang lebih luas bagi generasi mendatang.
9. PEMBERDAYAAN INDIVIDU: Melalui pendidikan, anak-anak dari latar belakang miskin memiliki peluang untuk mengembangkan potensi mereka, memperoleh pengetahuan, dan membangun keterampilan yang dapat meningkatkan kualiti hidup mereka secara keseluruhan.
10. SUMBANGAN KEPADA PEMBANGUNAN SOSIAL DAN EKONOMI: Pendidikan adalah kunci untuk pembangunan sosial dan ekonomi sesebuah negara. Dengan memberikan pendidikan yang berkualiti bagi kelompok yang termiskin, sekolah khas akan menyumbang kepada peningkatan kualiti sumber daya manusia dan pembangunan sesebuah negara.
Tuntasnya, dalam rangka untuk menoktahkan kemiskinan, penting bagi pihak Kerajaan, Kementerian pendidikan dan masyarakat untuk bekerjasama dalam mendirikan, mengelola, dan mendukung sekolah khas untuk orang miskin ini agar kita dapat menoktahkan kemiskinan dalam kalangan masyarakat. Kita semua seharusnya menyokong usaha murni Menteri Pendidikan untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam arus pendidikan dengan mewujudkan sekolah khas golongan miskin ini.